Cabaran Membina Prasarana
Sebagaimana penggunaan Telefon Selular/bimbit, organisasi-organisasi yang terlibat secara langsung dalam arena Wi-Fi perlu membina prasarana komunikasi bagi menggalakkan pertumbuhan penggunaan Wi-Fi.
Organisasi juga perlu memastikan prasarana yang dibina untuk penggunaan Wi-Fi mempunyai sekurang-kurangnya ciri-ciri berikut :
a. Memastikan penggunaan secara meluas –Dengan adanya telefon bimbit, pengguna memerlukan isyarat yang mana kini masih terdapat tempat-tempat tertentu yang belum dipasang dengan cell-broadcast walaupun teknologi yang kita ada begitu tinggi sekali. Mungkin juga sesetengah organisasi beranggapan bahawa pelaburan akan menjadi tinggi di kawasan-kawasan yang terpencil dan tidak memikirkan kebaikan kepada pengguna dan mereka yang dalam perjalanan menerusi zon terpencil berkenaan.
Masalah yang sama juka mungkin akan melanda Wi-Fi di mana banyak hot spot diperlukan untuk aktiviti sniffing oleh komputer. Mungkin pengguna tidak dapat log on di sesuatu zon kerana zon berkenaan adalah zon jaringan persendirian atau komersil yang memerlukan langganan.
Kawasan-kawasan seperti Hotel, restoran/outlet makanan eksklusif dan lapangan terbang perlu menitikberatkan kawasan-kawasan lobi atau lounge, pusat perniagaan, bilik-bilik persidangan/mesyuarat, bilik penginapan, dewan makan, kafeteria dll.
Sesetengah organisasi luar negara bercadang mengeluarkan key chain atau kad yang dapat mengesan isyarat Wi-Fi.
b. Kegunaan Rumah – penggunaan media digital seperti MP3 dan DVD kini semakin meluas, tetapi kebanyakan peralatan rumah masih lagi berorientasikan analog. Organisasi perlu mencari jalan untuk memecahkan permasalahan ini dan bukan sekadar memasang kabel jaringan di dalam dinding atau lantai semata-mata.
Wi-Fi dilihat mampu menyelesaikan masalah ini menerusi integrasi audio-video sehingga kepada telefon rumah secara automatik dan tanpa perlu berpenat-lelah. Pelayan/server kini dapat merekodkan siaran televisyen, menyimpan musik dan video dan memainkannya semula ke atas skrin di rumah. Bayangkan sesebuah rumah yang menjadi hub-media jaringan digital tanpa wayar, tentunya era video-internet akan lebih cepat diperkenalkan dan pastinya permintaan terhadap jalur lebar akan menjadi lebih tinggi.
c. Pemasangan Wi-Fi – jika syarikat telekomunikasi beranggapan bahawa Wi-Fi akan mengancam perniagaan mereka, cuba fikirkan pula jika hot spot Wi-Fi dipasang pada tiang-tiang telefon atau lampu. Ini pastinya akan menjadikan satu perniagaan baru kepada syarikat telekomunikasi – kerajaan atau swasta.
Wi-Fi mampu membantu mengurangkan kos yang banyak berbanding dengan cara kabel atau gentian optik.
d. Penggunaan yang seiring dengan Telefon Selular – apabila Wi-Fi berjaya digunakan secara meluas di kawasan perumahan dan kawasan awam, maka perhatian perlu diberikan pula kepada telefon selular. Kini, tidak mustahil untuk melihat pengguna wayarles dengan telefon selular di luar rumah, telefon cordless di dalam rumah dan jaringan Wi-Fi untuk data. Sesetengah peralatan ini berkongsi pada frekuensi yang sama – umpamanya kedua-dua Wi-Fi dan telefon cordless menggunakan frekuensi 2.4 – 5 GHz walaupun didasarkan kepada piawaian yang berbeza.
Bagi menjadikan penggunaan kedua-duanya secara seiring adalah suatu aktiviti yang pasti berlaku. Ini kerana Wi-Fi yang berkelajuan tinggi mampu menghantar suara sebagaimana telefon cordless. Bezanya ianya menggunakan saluran Internet dan bukannya jaringan telefon. Ini akan menjadikannya jauh lebih murah. Organisasi juga boleh menjadikan Wi-Fi sebahagian daripada fungsi telefon selular sebagaimana WAP/GPRS kerana fungsinya adalah mirip tetapi lebih meluas. Dengan adanya elemen Wi-Fi pada telefon selular, pengguna dapat membuat panggilan semasa berada di dalam zon Wi-Fi dan pada masa yang sama menggunakan cell-broadcast jika perlu.
Mungkin teknologi 3G mampu diperbaiki dan dilahirkan kembali. Banyak lagi perkara yang boleh dilakukan dalam tempoh yang terdekat ini. Di suatu masa, kemungkinan penggunaan internet berada di mana-mana tempat di dunia ini. Variasi harganya mungkin bergantung kepada zon dan prasarana yang dibina ketika itu. Penggunaan mungkin secara percuma bagi telefon cordless dan selular di kawasan perumahan, awam dan pejabat. Penggunaan juga mungkin secara percuma di kafe siber bagi menggalakkan keuntungan perniagaan. Dan mungkin juga harganya agak mahal semasa berada di lebuhraya. Ini mampu direalisasikan menerusi jaringan Wi-Fi.
Wi-Fi merupakan teknologi yang masih baru. Kemungkinan apa yang saya katakan di atas tadi nampaknya seperti tidak praktikal dan mungkin masalah-masalah lain seperti keselamatan dan gangguan tidak dititikberatkan. Namun, fikirkan sejenak bahawa semua teknologi baru yang telah diperkenalkan selama ini pun kadangkala nampak seperti begitu kompleks untuk diselesaikan pada peringkat permulaannya tetapi akhirnya penyelesaian masalah dapat dicari jua.
Begitu juga dengan Wi-Fi. Walaupun ianya dikatakan mampu menggugat industri telefon selular tetapi kita masih belum mendapat jawapan yang pasti kerana teknologi ini baru sahaja bermula…
Kabel dan gentian optik masih boleh digunakan sebagai sistem sokongan dan tidak boleh terus dibuang. Ini penting kerana hujan lebat, kilat dan elektromagnetik mampu merosakkan sistem Wi-Fi dan kita masih memerlukan pendailan dan telefon berwayar.
0 Responses

Post a Comment